30 Mac 2017 - 20:22
Nasib Assad Perlu DItentukan Oleh Warga Syria Sendiri: A.S

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata bahawa nasib Presiden Bashar al-Assad perlu ditentukan oleh warga Syria sendiri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata bahawa nasib Presiden Bashar al-Assad perlu ditentukan oleh warga Syria sendiri.

"Saya berpendapat bahawa status jangka panjang Presiden Assad akan ditentukan oleh warga Syria," kata Tillerson kepada pihak media di dalam sebuah sidang akhbar bersama dengan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu di Ankara pada hari Khamis.

Kenyataan itu sama sekali berbeza dengan pendekatan dan kedudukan yang diambil oleh pentadbiran Obama yang menetapkan pengunduran Assad sebagai syarat kepada penyelesaian krisis di Syria.

Turki yang pernah menjadi penyokong kuat kempen yang dilancarkan oleh Arab Saudi dan Qatar untuk menjatuhkan Assad kini mula meletakkan diri mereka di dalam posisi yang lebih moderat berikutan pemulihan hubungan yang berlaku di antara Ankara dan Rusia. Negara Rusia adalah salah satu daripada sekutu terkuat Damsyik selain Iran.

Sementara itu, Washington dan Ankara kini berselisih pendapat berkaitan kehadiran element pejuang Kurdis berdekatan dengan sempadan Turki-Syria. A.S dilihat menggunakan pasukan Kurdis di dalam konflik Syria dan menganggapnya sebagai sekutu mereka. Turki walau bagaimanapun secara terang-terangan mengaitkan mereka dengan Parti Pekerja Turki (PKK).

/315